Tuesday, August 10, 2010

Salam Ramadhan...

Ramadhan menjelma lagi. Bulan yang penuh keberkatan ini dinantikan oleh semua umat Islam. Semoga dengan keberkatan Ramadhan ini kita akan dapat menggilap kembali hati kita yang pudar dan melumpuhkan nafsu-nafsu hitam yang bertahta di hati selama ini.
Sabda Rasulullah saw.:
"Apabila datang bulan Ramadhan, dibukakan pintu langit dan ditutup pintu neraka serta dibelenggu segala syaitan."
Bulan Ramadhan ini adalah anugerah Allah sebagai lambang kasih sayang kepada hamba-hamba Nya. Allah tidak mensia-siakan keletihan umatnya yang berpuasa hinggakan tidur di waktu siang juga diberikan pahala. Begitu besarnya kasih sayang Allah pada kita. Oleh itu, marilah kita bersama-sama menilai diri kita. Semoga tahun ini amalan kita akan semakin bertambah dan sempurna perlaksanaannya. Insya Allah. Janganlah kita termasuk dalam golongan yang menganiayai diri sendiri.
Syukur Alhamdulillah, permulaan puasa saya dimulai dengan makan sahur bersama sahabat MISDEV10. Saya kira ini adalah platform terbaik bagi mengeratkan lagi hubungan silaturahim yang terjalin. Solat Subuh secara berjemaah bersama sahabat di surau penginapan yang diimankan oleh saudari Ilani mengukuhkan perasaan kasih sayang antara saya dan sahabat. Maklum sahaja tinggal di perantauan rasa rindu kepada keluarga di kampung begitu menggamit perasaan sehingga terpaksa menyedarkan diri akan tanggungjawab dan amanah serta kepercayaan yang diberi oleh orang tua.
Harapan saya semoga Ramadhan kali ini lebih baik daripada sebelumnya. Amin, mudah-mudahan segala urusan dipermudahkanNya. Azam saya juga adalah untuk membanyakkan amalan sunat di bulan mulia ini agar menjadi sebati pada bulan-bulan berikutnya. Insya Allah.
Sabda Rasulullah saw:
"Barangsiapa yang mendirikan Ramadhan dengan penuh keimanan nescaya diampunkan segala dosa-dosanya yang lalu."
Selamat menjalani ibadat puasa dengan sebaik-baiknya. Semoga dipertemukan dengan Malam Lailatulqadar.

Wasalam.